Hamzah Jamad

Blogger. Programmer. Technologist.

Apa itu Cloud Storage (Storan Awan) dalam bahasa mudah

    Dalam era digital kini, semua yang berkaitan dengan data, tidak kiralah ianya data mengenai perbelanjaan bulanan kita, senarai barangan runcit yang ingin dibeli ataupun mungkin gambar-gambar keluarga, semuanya sudah pun disimpan dalam bentuk binari, tersimpan rapi dan mudah diakses melalui gajet yang kita miliki. Akan tetapi, bagaimana sekiranya gajet yang menyimpan data tersebut hilang, dicuri ataupun rosak? Maka tentunya data kita juga turut lesap bersama. Oleh itu, disinilah pentingnya teknologi Cloud Storage ataupun Storan Awan. Teknologi Storan Awan mampu menyelesaikan masalah kehilangan data secara tidak sengaja.

 
     Apa itu Storan Awan? Storan Awan dalam erti kata lain ialah menjadikan Internet sebagai tempat untuk kita menyimpan data, berbanding menyimpannya di ruangan storan gajet kita. Awan hanyalah metafora untuk Internet. Ianya bermula beberapa tahun dulu dimana Internet cumalah rangkaian sambungan beberapa komputer yang menerima data antara satu sama lain. Data terapung di dalam rangkaian seperti titisan wap air dalam awan putih kumulonimbus , sekali lagi ianya hanyalah sekadar metafora.

    Tetapi apa yang bukan Storan Awan? Jawapan untuk soalan tersebut ialah cakera keras yang terdapat dalam gajet  anda. Apabila perisian atau data anda berada di cakera keras, ianya hanyalah sekadar ruang storan lokal. Cara ini ialah cara yang biasa kita lakukan dan telah pun dilakukan secara berdekad , ada juga yang mengatakan cara ini lebih baik berbanding teknologi Awan, tetapi.. benarkah? Mungkin persoalan itu anda yang harus menilainya buat masa ini.

    Untuk membina Awan , ianya bukan sekadar menyambung beberapa pelayan di rumah atau di pejabat kemudian menyimpan data ke dalamnya. Bagi membolehkan teknologi tersebut digelar sebagai Awan , ianya perlulah mampu diakses melalui Internet dan mampu disegerakkan secara bijak dengan data-data lain di internet, contoh aplikasi yang kita boleh lihat ialah Dropbox ataupun Google Drive. Aplikasi tersebut dengan mudah menyegerakkan segala data terus dari gajet ke Internet, sekaligus memudahkan kita untuk melindungi data kita daripada hilang tanpa sengaja.


Nota penulis,

Dulu selalu terbayang yang awan dilangit tu macam gula-gula kapas dan boleh ditangkap guna karung. LOL.